Sunday, 1 September 2019

‘Pahang FA’ Bolot Trofi Merdeka Kampung Kolam

SHARE
'Pahang FA' juara trofi merdeka.

Oleh : Fahmi Azizi

 KUALA TERENGGANU, 1 September – Pasukan ‘Pahang FA’ muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kolam 2019 selepas menewaskan ‘Pulau Pinang’ semalam.

Pengerusi MPKK Kampung Kolam, Muhammad Hamdi Abas memaklumkan, pertandingan yang berlangsung selama sehari itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi suasana kemerdekaan yang disambut di kampung itu.

Jelasnya, secara tidak langsung ia juga mampu menarik anak muda untuk menyertai aktiviti yang membina semangat patriotik dan berfaedah.

“Kejohanan yang diadakan ini juga menerapkan sifat kerjasama dalam setiap pemain supaya ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.

“Antara yang paling menarik dalam kejohanan ini, hadiah berupa sepasang kasut milik penjaga gol Terengganu FC (TFC 1), Wan Muhammad Azraie Wan Teh yang didermakan beliau kepada MPKK Kampung Kolam untuk diberikan hadiah cabutan bertuah,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Kasut yang disumbangkan Wan Azraie.
Tambah beliau, kejohanan tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 16 pasukan dari seluruh kampung berkenaan.

“Yang mana ia terbahagi 12 pasukan dewasa dan empat pasukan kanak-kanak, ini menunjukkan kejohanan yang diadakan sempena kemerdekaan ini sangat mendapat sambutan.

“Melalui usaha ini juga, kanak-kanak yang berbakat dalam bidang sukan khasnya sukan bola sepak akan dapat menonjolkan bakat mereka dalam kejohanan ini,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: