Tuesday, 10 September 2019

PADM Dan Skuad AMAR Tahan Dua Pasangan Kekasih

SHARE


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 10 September - Pejabat Agama Daerah Marang (PADM) mencekup dua pasangan kekasih dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar (AMAR), awal pagi semalam.

Dalam operasi kali kedua bersama Skuad AMAR itu, antara yang ditahan di hotel berasingan itu adalah pelajar institut pengajian tinggi awam dan anggota perkhidmatan awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah PADM, Sharimah Mamat, berkata dua pasangan kekasih yang ditahan diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di atas kesalahan seksyen 31 dan seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

“Operasi dijalankan bersama 30 anggota penguatkuasa PDAM dan Skuad AMAR dibahagikan kepada dua kumpulan itu melibatkan beberapa kawasan yang dicurigai di kawasan Marang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Skuad AMAR, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan, operasi kali kedua ini adalah bukti bahawa skuad yang ditubuhkan ini bersungguh-sungguh untuk menyahut seruan kerajaan dalam membanteras aktiviti yang tidak bermoral dalam negeri Terengganu.

“Operasi ini lebih kepada mendidik, bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi keluarga dan masyarakat agar tidak hanyut dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya.


“Seramai 15 ahli sukarelawan skuad telah terlibat secara langsung, malah masih ramai yang menghubungi kami menandakan keprihatinan masyarakat di daerah Marang ini.” katanya.

"Selain itu, kehadiran kami juga adalah bagi membantu masalah PSS Marang dari sudut bilangan anggota, kenderaan dan juga bantuan kewangan

“Suntikan sumbangan dan sokongan ini adalah daripada Pejabat Parlimen Marang serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang sendiri,” tambahnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: