Sunday, 22 September 2019

Muslimah Kaki Pancing, Curi Perhatian Ramai

SHARE
Khaalishah (paling kanan).
MARANG, 22 September - Kebiasaannya apabila sebut kaki pancing, hobi itu pasti dimonopoli golongan lelaki namun ia berbeza dengan sekumpulan wanita yang aktif dalam aktiviti memancing sejak daripada zaman remaja lagi.

Kumpulan ‘Lady Jiggers’, yang turut serta dalam kejohanan ‘Terengganu Tenggiri Challenge’ di Pulau Kekabu semalam ternyata berada pada kelas tersendiri apabila berjaya mengharungi cuaca berangin dan berjerebu sejak pagi.

Ketua Pasukan, Nur Khaalishah, 33, berkata, disebabkan minat mendalam dalam aktiviti berkenaan, dia bersama empat lagi sahabatnya yang berasal dari luar Terengganu nekad untuk menyertai kejohanan itu.

“Kami dah biasa aktiviti memancing dengan orang ramai, jadi perasaan (kekok dan takut) itu tak ada sangatlah pada kami, bahkan kami sangat teruja untuk sertai pertandingan ini pada kali pertama,” jelasnya ketika ditemui pemberita di Pulau Kekabu semalam.

Ujarnya, menyertai pertandingan memancing di pelbagai negeri dalam Malaysia memberikannya pengalaman dan kenalan baharu seperi ‘otai-otai’ dalam sukan pancing yang datang dari merata tempat.

Katanya lagi, dia sangat menyokong sekiranya aktiviti tersebut dijadikan sebagai acara tahunan dan diperluaskan ke kawasan lain.

“Insya-Allah kami juga akan turut serta, sukan memancing ini perlu ditambah baik, bukan hanya dibuat di satu tempat, boleh dibuat di tempat lain, lebih-lebih lagi Terengganu sangat sesuai untuk sukan memancing.

“Bila adanya sukan ini juga, pelancong dan orang-orang luar akan lebih berminat untuk datang ke Terengganu,” tambahnya.

Kumpulan ‘Lady Jiggers’ antara 150 peserta yang menyertai ‘Terengganu Tenggiri Challenge’ edisi ketiga pada tahun ini.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: