Monday, 30 September 2019

Muafakat Nasional Satukan Masyarakat Kampung

SHARE


DUNGUN, 30 September- Muafakat Nasional berjaya meruntuhkan tembok politik yang menebal dikalangan masyarakat kampung dimana kini mereka mampu bersatu dalam menjayakan sesuatu program.

Pengerusi Masjid Al-Mustaqim, Paya Pelandangan, Mokhtar Omar berkata, masyarakat kampung semakin terbuka dan boleh berkumpul bersama tanpa mengira fahaman politik termasuk bersama-sama bergotong royong menjayakan program yang diatur oleh masjid.

"Walaupun orang PAS masih lagi PAS, orang Umno masih lagi Umno, tetapi mereka dapat bergaul dan duduk bersama-sama kacau bubur asyura sambil bergurau,” ujarnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK ) Pulau Serai itu, berkata demikian ketika dihubungi pemberita sempena Gotong Royong Kacau Bubur Asyura Perpaduan Ummah anjuran masjid tersebut, baru-baru ini.

Menurut Mokhtar, dengan penglibatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Serai, MPKK Bemban/Alor Mak Bah, MPKK Pelandang, Kelab Rukun Tetangga(KRT) PAKR Pulau Serai, KRT Pelandangan dan KRT Pulau Serai Rajawali dan pihak masjid telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 200 orang komuniti kampung untuk bergotong-royong mengacau bubur asyura di samping menghubungkan silaturahim.

"Sebanyak 13 kawah bubur asyura telah berjaya disediakan dengan 700 bekas telah diedarkan kepada ahli jemaah masjid  seusai solat Jumaat.

"Saya bagi pihak masjid rasa puas hati kerana masyarakat kampung dapat sama-sama merasa 'duit' masjid dengan program ini,  kita telah mengeluarkan lebih daripada RM5000, untuk menjayakan progam kacau bubur asyura ini," katanya.

Beliau yang terharu dengan sambutan orang ramai dan yang datang seawal tujuh pagi turut memberitahu, jika sebelum ini, untuk mengumpulkan sepuluh orangpun agak sukar di dalam menjayakan program sebegitu.

" Saya nampak masing-masing seronok untuk bersama-sama mengimarahkan program yang diatur oleh masjid dan ada yang mencadangkan masjid turut mengadakan program gotong royong memasak untuk majlis kahwin," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: