Tuesday, 17 September 2019

MPKK Sungai Penaga Raikan Warga Tionghua

SHARE


Oleh: Mohd Asraf Ikhwan Azahar

KUALA DUNGUN, 15 September- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Penaga meraikan warga Tionghua Kampung Kuala Dungun dengan mengagihkan sebanyak 220 biji kuih bulan sempena perayaan mereka.

Pengerusi MPKK Sungai Penaga, Lu Chee Ann berkata, perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan mengikut kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September.


“Saya rasa terharu dan gembira melihat kemesraan dan penerimaan warga Tionghua kepada PAS di Dungun ini, kerana kita saling kenal mengenali dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Kita telah membuat persiapan dengan membuat tempahan sebanyak 220 biji kuih bulan untuk diedarkan kepada orang ramai serta sekolah berdekatan,” ujarnya selepas mengagihkan kuih tersebut, baru-baru ini.

Turut sama dalam program agihan kuih bulan itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Wan Hapandi Wan Nik dan Ketua Lujnah Perpaduan Nasional Kawasan Dungun, Serena Lim.


Sementara itu, Wan Hapandi yang juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura merakamkan ucapan penghargaan khususnya kepada masyarakat Tionghua di kawasan tersebut.

“Saya mewakili kepimpinan PAS DUN Sura merakamkan penghargaan khususnya kepada warga Tionghua yang menyambut perayaan itu.

“Dalam kepelbagaian agama dan kaum, kita sebagai wakil kerajaan tidak pernah melupakan mana-mana rakyat dan berharap agar mereka menerimanya dengan gembira,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: