Monday, 9 September 2019

MPKK, Polis Jalin Kerjasama Banteras Jenayah

SHARE
Demontrasi daripada pihak PDRM. Foto - Ammar Rozlan
Oleh : Fahmi Azizi

KUALA TERENGGANU, 9 September – Kerjasama antara masyarakat tempatan di daerah ini serta pihak polis mampu mencegah kegiatan jenayah demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kolam, Muhammad Hamdi Abas berkata, atas kesedaran itu pihaknya telah menganjurkan Program Polis Bersama Masyarakat bertempat di Dewan Dato’ Haji Wan Abdul Mutalib Embong, Kuala Ibai kelmarin.

“Program yang julung-julung kali diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk ini bertujuan untuk memberi kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kepentingan pencegahan jenayah di kawasan komuniti.

“Ia termasuk memberi pendedahan serta pengetahuan dalam aspek pencegahan jenayah kepada penduduk di sini supaya gejala jenayah mesti dikekang habis-habisan,” ujarnya ketika dihubungi media.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Haji Razmi Mohd Gunnos, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Terengganu, SUPT Mohd Aluwi Husain, Penyelia i-MITS Dun Batu Buruk, Salleh Abdullah dan Penghulu Mukim Kuala Ibai, Raah@Razman Ismail.


Muhammad Khalil bersama Ahmad Amzad meninjau peralatan khas pasukan polis.

Menurut Muhammad Hamdi, hasil program tersebut juga, pihak MPKK Kampung Kolam bercadang untuk menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) di Mukim Kuala Ibai.

Katanya, ia selaras dengan saranan Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali baru-baru ini yang menyarankan agar setiap MPKK menubuhkan PKK di setiap kampung masing-masing.

“Hasrat tersebut akan kita jayakan dengan penubuhan PPK yang sedang kita rangka, dan kita akan tubuhkan dalam masa terdekat selepas mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat dalam program ini.

“Pihak MPKK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama bagi meneruskan persatuan tersebut untuk jangka masa yang panjang,” tambah beliau.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan silat pulut, persembahan T-baton oleh IPD Kuala Terengganu dan pertunjukkan Unit Anjing Pengesan (K9) yang dibawakan khas daripada Bukit Aman.

Turut diadakan ialah pameran oleh jabatan-jabatan PDRM, ceramah dan dialog berkaitan pencegahan jenayah semasa, permasalahan dadah, mat rempit dan keselamatan jalan raya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: