Tuesday, 3 September 2019

Manaf Tidak Keberatan Beraksi Dengan TFC

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 3 September- Bekas pemain pasukan Bola Sepak Negeri Terengganu, Manaf Mamat tidak keberatan menyertai Terengganu Football Club (TFC) I, jika diberikan peluang keemasan berkenaan.

Beliau yang kini menyarung jersi Pasukan Kelab Batu Dua itu beraksi di dalam Liga Malaysia 3.

"Jika ada rezeki InsyaAllah tiada keberatan bagi pihak saya. Setakat ini saya tengok perkembangan setiap pasukan bola sepak Negeri Terengganu berada ditahap yang cukup baik.

"Alhamdulillah TFC II dah berjaya ke separuh akhir ke Piala Cabaran, begitu juga dengan pasukan Piala Presiden dan belia dah layak, sekarang menanti pasukan TFC I.

"Ianya keadaan yang cukup positif bagi tahun ini," kata pemain berkenaan yang berusia 32 tahun.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, di Pasir Raja, kelmarin.

Beliau yang mewakili Delima Warrior B telah membantu pasukan berkenaan mendapat tempat ketiga daripada 42 pasukan yang bertanding dimana Abu KB FC telah muncul juara, dan disusuli tempat kedua, Young Boy FC.

Jelasnya, beliau melihat bahawa penganjuran sukan berkenaan amat bermanafaat bagi orang muda.

"Saya harap selepas ini akan dapat dianjurkan lagi program sebegini," ujarnya.

Manaf berkata, beliau akan meneruskan kerjaya bola sepak berkenaan selagi masih diperlukan.

"Kerana ini kerjaya saya, minat saya yang juga merupakan hobi saya," jelasnya.

Sehubungan itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, penganjuran sukan berkenaan pada kali ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

"Apabila menerima penyertaan paling ramai seramai 42 pasukan, dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Sukairi Wan Abdullah yang telah meluangkan masa untuk hadir," jelasnya.

Katanya, penyertaan bukan sahaja dari kalangan anak muda DUN Bukit Besi bahkan telah disertai oleh kelab bola sepak luar.

"Kita mengharapkan agar pendedahan sebegini mampu meningkatkan kemahiran para anak muda di DUN Bukit Besi agar tidak bergelar jaguh kampung semata-mata.

"Mungkin dimasa akan datang kita boleh pergi lebih jauh, sebagaimana sekarang kita telah memiliki Ayahanda FC, mungkin boleh diperbaiki dan dipertingkatkan lagi mutu permainan pemain yang kita ada," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: