Sunday, 1 September 2019

Lupakan Persengketaan, Semai Kasih Sayang Dalam Tahun Baharu - MB Terengganu

SHARE
Ahmad Samsuri menyampaikan ucapan khas sempena menyambut kedatangan tahun baharu 1441H.
MARANG, 1 September - Seluruh rakyat Terengganu diseru melupakan segala persengketaan lampau dalam mengharungi tahun baharu Hijrah.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertelingkahan berpanjangan menyebabkan rakyat dan umat islam senang digugat oleh anasir-anasir luar.

Jelasnya, persaudaraan antara Muhajirin dari Mekah dan Ansar di Madinah patut dijadikan contoh kerana ia berjaya melahirkan kuasa rakyat yang kuat di Madinah ketika itu.

"Semailah semangat kasih sayang sesama kita sebagaimana tersemat kasih sayang antara Muhajirin dan Ansar.

"Begitu juga semarakkanlah semangat perpaduan atas nama persaudaraan sesama insan dengan kalangan bukan Islam sebagaimana pembentukan Piagam Madinah antara umat Islam dan Yahudi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Tahlil dan Solat Hajat sempena Sambutan Ambang Maal Hijrah 1441H, di Masjid Bukit Payung, semalam.

Ahli Dewan Negara, Dato' Husin Awang (dua dari kanan) turut hadir dalam sambutan itu.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md Azahar serta  Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMKN).

Menurut Ahmad Samsuri lagi, kejayaan dan kemenangan yang dicapai dapat dilihat dan dinilai dengan kesungguhan serta kegigihan setiap individu.

"Bertindak secara berjemaah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan dengan mengenepikan segala kepentingan sendiri semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah," tambah beliau.

Majlis yang bermula pada jam 8.00 malam itu dihadiri kira-kira 1,000 penduduk setempat.

Solat hajat dan tahlil sempena menyambut kedatangan tahun baharu hijrah itu turut diadakan serentak di seluruh masjid dalam negeri berkenaan.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: