Tuesday, 24 September 2019

KOSPEN Bantu Perkasa Komuniti Ke Arah Hidup Sihat

SHARE
Afiq Hadri Amil.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 24 September - Program bersama Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) mampu memperkasa komuniti satu-satu kawasan ke arah gaya hidup sihat.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Afiq Hadri Amil berkata, inisiatif ini merupakan transformasi perkhidmatan kesihatan awam dalam usaha meningkatkan mutu kesihatan rakyat Malaysia melalui peningkatan pemerkasaan serta peluasan penglibatan masyarakat dalam program kesihatan awam dengan mengabungkan mekanisma kerajaan sedia ada terutamanya di peringkat akar umbi.


“Secara ringkasnya, tujuan program ini adalah untukmendidik komuniti ke arah gaya hidup dan sihat melihat peningkatan pengetahuan yang seterusnya membawa kepada perubahan amalan dan tingkahlaku yang diingini.

"Ia juga sebagai salah satu usaha menangani masalah peningkatan bebanan Penyakit Tidak Berjangkit (Non Communicable Disease atau NCD) di negara ini," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sewaktu program berkenaan bersama penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di  Masjid Tok Jamal, Sabtu lalu.

Jelasnya, inisiatif tersebut dilaksanakan secara agresif dengan penubuhan unit-unit yang terdiri daripada sukarelawan di kalangan masyarakat seluruh negara.


“Kumpulan itu bertindak sebagai agen perubahan kesihatan dikenali sebagai Pasukan Gerak Sihat Malaysia atau singkatannya GSiM dan merupakan tunggak utama pelaksanaan aktiviti KOSPEN,” katanya dalam program anjuran bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Wakaf Mempelam itu.

Dalam pada itu, Pengerusi MPKK, Azmi Ali  berharap program seperti itu perlu diadakan secara kerap kerana ia memberi kebaikan kepada komuniti kampung.

"Selain membantu masyarakat lebih prihatin kepada kesihatan diri, program ini juga secara tidak langsung mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung,” katanya.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: