Tuesday, 3 September 2019

Konsep Sukan Patuh Syariah Dilaksanakan Selepas Rangka Garis Panduan Yang Jelas

SHARE



KUALA TERENGGANU, 3 September - Kerajaan Terengganu tidak akan melaksanakan pemakaian patuh syariah kepada atlet sukan di negeri itu sehingga pihak mereka menemui jalan penyelesaian serta merangka garis panduan yang jelas .

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya masih belum ada keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya yang mana mesti mematuhi syariah yang diturun oleh Allah Taala dalam agama Islam dan ia bukan sesuatu yang mudah serta mampu meliputi semua aspek berkaitan dengan konsep berkenaan.

“Kerana itu dalam konteks patuh syariah sukan  di negeri Terengganu ini , kita perlu melihat dalam konteks yang luas seperti  bukan hanya berkaitan dalam sukan bola sepak sahaja, ia juga berkaitan dengan sukan olahraga, renang, gimnastik dan ada kaitan dengan semua sukan yang ada dalam negara kita ini samada yang kita sertai dalam sukma  atau yang atlet sertai dalam sukan diperingkat antarabangsa seperti  Sukan Asia, Olimpik dan sebagainya.

“Erti patuh syariah ini bukan dalam erti yang sempit, kaitkan dengan menutup aurat sahaja (tidak) ia juga termasuk dalam pergaulan, perkara-perkara teknikal dalam sukan-sukan tersebut termasuk pemulihan bila berlaku kecederaan dan sebagainya…semuanya berkait dengan patuh syariah.

“Sebab tu bila kita sebut Terengganu nak laksana konsep sukan patuh syariah ia bukan bermaksud kita nak atlet kita pakai pakaian menutup aurat semata-mata sebab dalam konteks menutup aurat ni bukan semata-mata tutup..ia ada syarat dia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas  Bengkel Syariah Sukan di Primula Hotel, di sini hari ini.



Tambah Wan Sukairi, bengkel berkenaan diadakan selepas pihaknya memohon Mufti Terengganu, Sahibul Samahah Dato’ Dr Zulkiply Muda membuat kertas lengkap garis panduan  berkaitan dengan patuh syariah  untuk sukan negeri Terengganu dan ia merangkumi semua bidang-bidang sukan yang ada di negara ini.

“Hari ini bila siap kertas, maka kita buat bengkel untuk dapat pandangan pelbagai pihak kerana menurut Mufti, Islam ini sangat luas dan tidak tertakluk kepada satu pandangan.

"Jadi kita kumpulkan cendikiawan Islam, yang berilmu dan punyai keutamaan  dalam agama, pensyarah-pensyarah Universiti , pegawai-pegawai sukan negeri Terengganu dan Kelantan serta wakil-wakil dari persatuan sukan supaya mereka beri pandangan mereka sebab kita nak tahu kesesuaiannya,” katanya lagi.

Sementara itu, pihaknya juga mengalu-alukan pereka-pereka fesyen tempatan dan luar bagi menyumbang idea untuk konsep pakaian patuh syariah.

“Saya setuju mana-mana pereka fesyen dapat cadangkan kepada kita satu sampel pakaian wanita untuk bersukan , tak kira lah berbasikal ke atau sukan apa-apa pun, datangkan kepada kita satu sampel dan pada masa yang sama kita akan berusaha untuk mencari  pereka fesyen yang boleh buat pakaian sukan patuh syariah  untuk wanita khususnya mengikut jenis apa yang dikehendaki oleh sukan berkenaan.

“Ambil kira jenis fabriknya, cara jahitan dan apa yang digunakan semua kita ambil kira…kalau ada, kita bersetuju kita lantik dia sebagai pembekal untuk sukan patuh syariah di Terengganu,” tambahnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: