Wednesday, 25 September 2019

Kerajaan Usaha Pendekkan Tempoh Kelulusan

SHARE

Oleh : Mustaqim Afandi

KEMAMAN, 25 September - Kerajaan negeri sedang cuba memendekkan masa bagi kelulusan setiap permohonan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) kepada para usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia bertujuan agar mereka tidak perlu menunggu lama proses untuk kelulusan sesuatu perkara.

Antaranya, kata beliau ialah, projek dalam pembangunan pembiayaan dan perniagaan serta premis perniagaan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan platform yang sangat baik kepada usahawan iaitu menghimpunkan semua agensi kerajaan dibawah satu bumbung untuk bermesyuarat dan berbincang dinamakan sebagai Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER).

“PEUTER akan menjadi satu medan untuk permudah cara kepada usahawan bertemu dengan agensi yang berkaitan dengan keusahawanan bagi menyampaikan maklumat dan membantu.

“Antara agensi-agensi dibawah PEUTER yang terlibat ialah Sme Corp, Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade), Lembaga kemjuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPHNHEP) dan lain-lain,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Himpunan Usahawan Terengganu 2019 di Dewan Berlian, Majlis Perdana, Kemaman, pada semalam.

Seramai  2,000 orang  usahawan daripada Daerah Dungun dan Kemaman yang mewakili zon selatan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman hadir dalam program tersebut.

Tambah beliau, sebanyak 30 agensi-agensi dari kerajaan negeri dan persekutuan hadir  bagi menyampaikan maklumat yang tercicir dan membantu usahawan dalam menyelesaikan masalah berkaitan keusahawanan.

“Dengan adanya program seperti ini usahawan boleh berhubung terus dengan mana-mana pihak yang menawarkan khidmat bantuan dalam perniagaan.

“Ini adalah penanda aras menunjukkan semakin ramai usahawan yang cakna dengan program yang dianjurkan oleh pihak Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU),” kata beliau.

Justeru itu, beliau mengucapkan tahniah dan berharap agar para usahawan faham  dengan jelas dan dapat membantu dalam menyelesaikan masalah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: