Tuesday, 10 September 2019

Kerajaan Teliti Prestasi Atlet SUTERA 2019

SHARE
Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
KUALA NERUS, 10 September - Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat prestasi atlet Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 termasuk mengenal pasti kejayaan mereka memecah rekod sukan di mana-mana peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat mengenai prestasi tersebut dan perkara ini akan diketahui sedikit masa lagi.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Temasya SUTERA 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, MSNT merekodkan sebanyak 312 pingat berjaya dirangkul atlet SUTERA kali ini termasuk masing-masing 96 Emas dan Perak serta 120 Gangsa selepas penutupan temasya itu semalam.

Dari jumlah itu, kontinjen Kuala Terengganu memperolehi 67 pingat termasuk 34 Emas, 15 Perak dan 18 Gangsa sekali gus muncul Juara Keseluruhan kejohanan itu.

Kuala Nerus pula mengondol 57 pingat termasuk 19 Emas, 17 Perak dan 21 Gangsa, meletakkan kontinjen itu sebagai Naib Juara Keseluruhan.

Sementara Dungun mengutip 41 pingat termasuk 11 Emas, 16 Perak dan 14 Gangsa meletakkan kontinjen itu di tempat ketiga.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: