Thursday, 26 September 2019

Kerajaan Negeri Bantu 2,270 Ibu Tunggal Bebas Dari Belenggu Kemiskinan

SHARE
Dato' Dr Mohd Khairuddin (kiri) merasmi Kursus Perniagaan Usahawan Wanita untuk 32 Ibu Tunggal Kuala Nerus.


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 26 September– Kerajaan negeri membantu kira-kira 2,270 ibu tunggal daerah Kuala Nerus membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan dan tekanan hidup antara lain melalui bantuan pinjaman dan khidmat nasihat perniagaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana usahawan di kalangan ibu tunggal dan fakir miskin perlu dibantu demi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Demi meningkatkan ekonomi dan taraf hidup di kalangan rakyat Kuala Nerus terutama mereka yang  berstatus ibu tunggal dan fakir miskin yang ingin berniaga, mereka perlu dibantu.
Kursus Usahawan Wanita Kuala Nerus dirasmikan oleh Dato' Dr Mohd Khairuddin.
“Antara bantuan yang boleh kita beri kepada mereka ialah kita perlu memberi latihan dan pendedahan tentang ilmu-ilmu asas tentang perniagaan makanan dan memberi bantuan modal agar mereka dapat membuka perniagaan secara kecil-kecilan sebagai permulaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Usahawan Wanita Parlimen Kuala Nerus (Batch 1), di Marina Duyong & Resort, anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PK-NERUS) , baru-baru ini.

Seramai 32 ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah hadir dalam kursus tersebut. 

Antara 32 peserta Kursus Usahawan Wanita Kuala Nerus bergambar beramai-ramai.
Dr Mohd Khairuddin juga berharap,  program sebegini dapat melahirkan ramai usahawan wanita bumiputera yang berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Sementara itu Pembantu Pembangunan Masyarakat Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Saifulnizan Harun @ Hashim ketika dihubungi hari ini menjelaskan bahawa seramai 4,087 orang ibu tunggal Kuala Nerus berada dalam senarai YPK.

Katanya dari jumlah itu seramai 2,270 orang menghadiri pelbagai program kesejahteraan YPK termasuk program hafazan Al-Quran, taklif, kaunseling, kursus perniagaan, latihan kemahiran, senaman tai chi dan lain-lain.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: