Sunday, 29 September 2019

Kerajaan Bergerak Ke Arah Ganti KUSZA - MB Terengganu

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

KUALA TERENGGANU, 29 September - Kerajaan Terengganu sedang mengkaji semua aspek untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi seperti Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebagaimana dalam Manifesto Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu.

Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri telah melihat pelbagai aspek termasuk tempat dan kursus yang akan dilaksanakan.

"Kita (kerajaan negeri) kena tengok kalau kita nak buat sebuah institusi pengajian tinggi (seperti KUSZA contohnya), bukan boleh tengok apa yang akan kita buat tahun depan.

Dato' Sri Syed Zainal Abidin menyampaikan syarahan bertajuk Kepimpinan dan Transformasi.
"Kita kena tengok empat tahun lima tahun akan datang bagaimana keadaan (pelaksanaannya). Jadi banyak perkara perlu dibuat untuk mengkaji semua perkara ini.

"Kita akan cuba realisasikan sama ada ianya wujud pada peringkat awal itu sebagai sebuah institusi pengajian tinggi sama ada satu kursus atau satu diploma dahulu, pelaksanaan itu akan kita tengok dan kerajaan betul-betul berhasrat untuk merealisasikan setakat mana boleh kita buat dahulu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas Majlis Bicara Darul Iman di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Dato' Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyampaikan syarahan bertajuk Kepimpinan dan Transformasi di majlis tersebut.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang seterusnya berkata mewujudkan institusi pengajian tinggi tidak semestinya pada hari pertama terus 'full flash' (buat sepenuhnya).

"Ia mungkin bermula dengan menumpang tempat sementara dahulu, tengok kesesuaian tempat terlebih dahulu dan ini yang sedang kita kaji sekarang ni.


"Apa yang kita cuba bentuk dan rangka sekarang ini ialah kewujudan sebuah institusi seumpama KUSZA dan namanya belum diputuskan lagi.

"Pada peringkat ini kita sedang melihat kesesuaian, mana yang lebih sesuai, melihat kepada perkembangan peraturan-peraturan yang sedia ada," jelasnya lagi.

Jelasnya, kerajaan negeri perlu kesinambungan kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah Islam yang sedang dan akan dilaksana.

"Kita sudah membentuk Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga dalam proses pelaksanaan untuk tahun 2020 (tahun depan), sekurang-kurangnya sebuah sekolah seumpama itu (SMIDI) akan diwujudkan," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: