Tuesday, 17 September 2019

Karnival Pantai Julang Budaya, Seni Dan Tradisi Terengganu

SHARE
Sulaiman Sulong (empat dari kanan) menyaksikan pertunjukan silat daripada kanak-kanak sekolah rendah.
KUALA TERENGGANU, 16 September- Penganjuran Karnival Pantai Terengganu 2019 yang bertemakan ‘Tradisi Diwarisi’ berjaya menjulang budaya, seni dan tradisi Terengganu ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola karnival berkenaan, Sulaiman Sulong memaklumkan, kehadiran pengunjung yang melebihi 100 ribu orang termasuk dari luar negara menjadikan hasil karya rakyat Terengganu dikenali seantero dunia.

Ujarnya, secara tidak langsung ia bakal memberi pulangan yang lumayan kepada penduduk di negeri berkenaan.

“Karnival ini boleh kita jadikan sebagai penanda aras untuk kita angkat kembali budaya, seni dan tradisi negeri ini ke peringkat yang sepatutnya.

“Dalam masa yang sama, ia boleh menjana pendapatan (ekonomi) pengusaha-pengusaha makanan, pakaian, batik, songket dan seumpamanya yang menjadi kebanggaan Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Pantai Terengganu 2019, di Dataran Batu Burok, di sini semalam.

Sulaiman menyampaikan hadiah kepada agensi kerajaan yang terlibat menjayakan karnival pantai.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap agar kerajaan negeri terus memberi penekanan dalam memperkenal dan memasarkan hasil tempatan.

Katanya, banyak produk anak Terengganu yang berkualiti tinggi dan mendapat permintaan ramai perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Perkembangan ini sangat menarik dan pihak kerajaan negeri melalui jabatan pelancongan pastinya perlu memberi keutamaan serta penekanan supaya program seumpama ini tidak hilang begitu sahaja.

“Kita mahu supaya mereka yang terlibat sama ada pameran atau perniagaan dalam karnival ini dapat mengetengahkan hasil karya daripada mereka sendiri (anak Terengganu) ke merata tempat,” tambah beliau.

Acara tahunan yang berlangsung selama lima hari sejak 12 September lalu itu dirancakkan dengan pelbagai pengisian menarik di Pantai Batu Buruk.

Antaranya bangsal-bangsal tradisi, Malam Kesenian Islam, pertandingan keris dan senjata lama, bicara santai artis hijrah, demonstrasi makanan tradisional daerah, sukaneka rakyat, Himpunan Terengganu Bertanjak dan sebagainya di samping pameran jabatan dan agensi kerajaan serta jualan usahawan tempatan.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: