Thursday, 5 September 2019

Kami Sentiasa Doakan Kalian - Dato' Tengku Hassan

SHARE
Tengku Hassan mengusap bahu seorang calon UPSR sambil menyampaikan pesannya.


KUALA TERENGGANU, 5 September – Pelajar-pelajar  yang sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negeri Terengganu dinasihatkan terus konsisten memanjatkan doa sepanjang menjawab peperiksaan bagi meraih kekuatan jiwa yang sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, barisan kepimpinan negeri sentiasa mendoakan agar anak-anak negeri itu bakal memperoleh keputusan cemerlang dalam apa juga peperiksaan atau ujian yang dilalui.

“Semoga diberikan ketenangan, kesihatan yang baik dan dipermudahkan serta dapat menjawab dengan baik.
Tg. Hassan berkunjung setiap hari meninjau calon UPSR di sekolah-sekolah sekitar kawasannya.

“Buat ibu bapa juga, jangan putus-putus berdoa untuk kesejahteraan mereka. Saya turut berharap para guru menghalalkan segala ilmu yang telah dicurahkan,” pesannya ketika meluangkan waktu menyantuni calon-calon terlibat pada hari kedua UPSR di Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, hari ini.

Beliau yang turut melawat Sekolah Kebangsaan Ladang, semalam sempat juga menyampaikan pesan supaya ibu bapa dan guru sentiasa memberikan semangat dan harapan kepada anak-anak mereka.

“Insya-Allah, keazaman dan usaha anak-anak dalam mencapai impian akan terbalas. Jangan sekali-kali merendahkan mereka, sebaliknya bantu untuk mereka bangkit jika berdepan kegagalan,” katanya.

Bagi tahun 2019, seramai  20,619 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membabitkan sebanyak 375 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

 Jumlah calon tertinggi adalah di Kuala Terengganu iaitu seramai 4,269 calon, manakala Setiu mencatatkan jumlah calon paling sedikit iaitu seramai 1,211 orang.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: