Wednesday, 11 September 2019

‘Jom Bersih Pantai’ Ajak Masyarakat Cakna Kebersihan

SHARE
Peserta yang terlibat menjayakan program 'Jom Bersih Pantai'. Foto oleh - Wan Mohd Luqman Hakim.

KUALA TERENGGANU, 11 September –
Bersempena Karnival Pantai Terengganu 2019 yang akan bemula esok, sekitar 500 peserta menyertai 'Program Jom Bersih Pantai' di Pantai Batu Burok hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program gotong-royong itu berjaya menarik kehadiran komuniti setempat termasuk beberapa agensi dan jabatan negeri yang sekali gus membuktikan tahap kesedaran masyarakat tentang kebersihan semakin meningkat.

Jelasnya, Terengganu antara negeri yang berbelanja besar demi menjaga kebersihan alam sekitar bagi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

“Dengan peruntukan yang diberikan itu kita jayakan program-program seumpama ini, sebelum ini kita buat Kuala Ibai, Kuala Nerus (Pantai Seberang Takir) juga termasuk Besut dan Kemaman.

“Ia sebenarnya lebih kepada pendidikan, supaya pelancong luar dan tempatan yang mengunjungi Terengganu berasa selesa apabila isu sampah diberi keutamaan (tidak berlaku),” ujarnya ketika ditemui media semasa program tersebut.

Ariffin Deraman berkata, pantai yang bersih akan dapat menarik lebih ramai pengunjung hadir ke karnival.
Sementara itu, Ikon Pelancongan Terengganu, Mat Dan yang turut serta dalam aktiviti tersebut menegaskan, Terengganu mempunyai lokasi percutian yang menarik untuk dilawati berbanding negeri lain namun tercemar dengan sikap negatif segelintir orang.

“Pantai kita cantik, negeri kita indah tetapi saya sedih apabila melihat segelintir masyarakat yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya, padahal tong sampah tidak berada jauh dari tempat mereka berada.

“Tetapi alhamdulillah, sekarang saya melihat kesedaran masyarakat dalam aspek ini telah meningkat sejak akhir-akhir ini, dengan usaha yang dilakukan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan kerajaan,” tambah beliau.

Program Karnival Pantai Terengganu 2019 akan diadakan pada 12 hingga 16 September 2019 di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dengan membawa tema 'Tradisi Diwarisi' yang bakal membawa pengunjung menggamit kenangan mengenai kehidupan masyarakat negeri Terengganu suatu ketika dahulu.

Program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan akan menyajikan kemeriahan yang berbeza dari tahun sebelumnya.
Mat Dan terharu dengan sambutan peserta-peserta dalam kempen kebersihan berkenaan.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: