Thursday, 26 September 2019

Terengganu Lancar Video Pendek Cegah Jenayah Syariah Dalam Pawagam - Mohd Nor

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) melancarkan tayangan video pendek kempen pencegahan kesalahan jenayah syariah dengan kerjasama Lotus Five Star (LFS) Cinema bertempat di LFS Cinema di PB Sentral, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam JHEAT, Azan Alwi serta Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Mohd Nor berkata, video pendek berdurasi 51 saat itu  akan ditayangkan di kesemua 11 skrin panggung wayang tersebut sebelum tayangan filem bermula bertujuan mendidik, menasihati, berdakwah dan memberi peringatan untuk bersama-sama mencegah perbuatan jenayah syariah.


Katanya, LFS Cinema menyambut baik usaha ini dan beliau yakin kerjasama seumpama itu mampu memberi impak positif dalam mendidik orang awam berkaitan kesalahan jenayah syariah terutama yang berkunjung ke pawagam LFS.

“Kita bergerak seiring dengan melakukan pencegahan dan penguatkuasaan di dalam panggung wayang di mana dengan pencegahan, kita cuba untuk menyekat sebelum berlakunya kesalahan yang berkaitan dengan dosa dan maksiat berdasarkan enakmen jenayah syariah.

“Sementara langkah penguatkuasaan pula akan diambil apabila berlakunya kesalahan dan aduan terhadap kesalahan itu khususnya dua kesalahan yang biasa diperhatikan iaitu kelakuan kurang sopan dan tidak menutup aurat,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan video pendek tersebut.

Mohd Nor berkata, beliau berharap usaha pencegahan ini dapat mengelakkan masyarakat daripada terlibat dan bergelumang dosa melakukan kesalahan di bawah jenayah syariah.

Tambah beliau, pihaknya berhasrat agar tayangan seumpama itu akan diperluaskan ke pawagam lain di negeri ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: