Sunday, 1 September 2019

Hormati Asas Perpaduan Kaum Dalam Perlembagaan - MB Terengganu

SHARE
Ahmad Samsuri.
KUALA TERENGGANU, 1 September – Negeri dan negara akan dihormati sekiranya asas perpaduan kaum yang dibina dalam Perlembagaan negara dihormati semua pihak.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, piagam Madinah merupakan satu Perlembagaan lengkap yang mengandungi ciri-ciri perpaduan, peraturan kenegaraan, menanam semangat patriotik dan cintakan negara berpandukan Islam.

Jelasnya, orang-orang Muhajirin, Ansar dan Yahudi disatukan dibawah satu pemerintahan iaitu dibawah pemerintahan Islam.

“Asas kejayaan Nabi sewaktu menyatukan kaum di Madinah sehingga diwujudkan satu piagam lengkap ialah prinsip penampilan akhlak dan etika yang tinggi yang direalisasikan semua pihak sebagaimana perjanjian dalam piagam tersebut.

Perkara yang sama perlu dilakukan oleh kita selaku rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Terengganu, asas perpaduan kaum yang dibina dalam perlembagaan negara dan kontrak sosial mesti dihormati oleh semua kalangan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Turut berangkat, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az serta Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Mohd Zahari Md Azahar dan barisan kepemimpinan kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengajak seluruh rakyat negeri itu agar menghayati dan menginsafi peristiwa hijrah Nabi.

Peristiwa tersebut mengungkapkan pelbagai hikmah dan makna yang amat mendalam kepada seluruh umat Islam secara khususnya.

“Penghijrahan yang berdasarkan kepada keimanan, ketakwaan dan menuntut keredaan Allah akan memperolehi kejayaan gilang-gemilang,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: