Sunday, 8 September 2019

Hayati Peristiwa Hijrah Rasulullah

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 8 September- Umat Islam diseru menghayati peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W lebih-lebih lagi sambutan hari kemerdekaan negara kali ini begitu hampir dengan Awal Muharram umpama mengandungi mesej tersirat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata,  ianya seolah mengingatkan masyarakat agar berusaha memerdekakan diri daripada segala anasir yang tidak baik dan langkah seterusnya melakukan penghijrahan.

"Pada tahun ini kita menyambut Awal Muharram selepas pada bulan kemerdekaan. Perkara demikian sewajarnya dihayati oleh masyarakat agar bertekad melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap merasmikan Sukaneka anjuran Majlis Pengurusan komuniti Kampung (MPKK) Taman Abadi di taman berkenaan, semalam.

Menurutnya, sebagai muslim yang baik harus sentiasa memikirkan hikmah disebalik sesuatu perkara yang  pastinya tidak berlaku secara kebetulan.

"Bagi menginsafi diri, juga bagi memastikan setiap hari yang ditempuhi adalah lebih baik dari semalam, dan esok adalah lebih baik pada hari ini," katanya.

Ketika berucap, beliau juga turut menekankan akan peri pentingnya keharmonian dan perpaduan di dalam masyarakat.

"Kerana ianya elemen penting yang membawa kepada kesejahteraan sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menganjurkan agar masyarakat di taman berkenaan mengimarahkan masjid yang menjadi sumber perpaduan dengan mengikuti kuliah agama yang telah disusun atur.

"Kerana ianya akan lebih mendidik masyarakat kearah yang lebih baik serta mampu untuk membina institusi kemasyarakatan yang lebih harmoni,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: