Wednesday, 18 September 2019

Harimau Kumbang Gusarkan Penduduk AMBS

SHARE


Oleh: Adli Mohamad/Foto: Hanif Safwan Mansor

DUNGUN, 19 September- Selepas kemunculan Awang Besol yang merupakan Harimau Malaya, kini muncul pula Harimau Kumbang yang mengusarkan penduduk di Taman Harmoni, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian  itu didakwa berlaku semenjak sebulan yang lalu sehingga kini.

"Terbaharu ianya dilihat berlegar-legar di kawasan Blok H, taman perumahan berkenaan.

"Pada pagi ini saya telah turun ke lokasi yang ditempatkan perangkap oleh Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu bersama anggota yang dipertanggungjawabkan bagi menangani isu ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian, ketika ke lokasi berkenaan di Taman Harmoni, semalam.


Katanya, dapat dilihat tapak haiwan itu di lokasi terbabit yang menunjukkan ada laluan yang masih baru dilalui.

"Kejadian ini benar-benar menakutkan penduduk taman di sini, menyebabkan terjejasnya aktiviti harian mereka, anak-anak tidak lagi dibenarkan bermain pada waktu petang, pergi ke sekolah pun mendatangkan kebimbangan.

"Penduduk sentiasa dalam keadaan berwaspada, jadi saya menasihatkan agar penduduk berhati-hati dan mendoakan agar haiwan berkenaan akan dapat diperangkap ataupun kembali semula ke habitat asalnya tanpa menganggu penduduk," ujarnya.

Ghazali turut berterima kasih diatas tindakan segara dari Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu yang bertindak berdasarkan aduan dilakukan penduduk.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: