Thursday, 19 September 2019

Gabung Sawah : Selesaikan Masalah Utama Pesawah Dahulu - Dr Azman

SHARE
Dr Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 19 September – Kerajaan Pusat disaran menyelesaikan pelbagai isu berbangkit melibatkan soal pertanian terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah yang dihadapi oleh pesawah selama ini seperti sistem perparitan, isu kualiti benih, padi angin dan sebagainya adalah perkara yang perlu diberikan perhatian.

Katanya, para pesawah setiap tahun berhadapan dengan masalah tersebut sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Isu-isu tersebut sedang menghantui pesawah-pesawah dan ia perlu diselesaikan dahulu, kalau kita kata nak gabungkan sawah padi supaya ia menjadi luas, sebenarnya ini dah ada (di Terengganu).

“Sawah padi yang ada juga tidak terbiar kecuali yang tidak dapat diusahakan kerana masalah pengairan, punca inilah yang harus diteliti, gabung ini kalau ada yang kecil digabungkan menjadi besar,” katanya ketika ditemui media di Wisma Darul Iman, semalam.
Azman meninjau sawah padi di Terengganu.
Menurut beliau, isu penggabungan padi tidak timbul di Terengganu memandangkan semua sawah padi telah diusahakan dan beroperasi secara bersama cuma dengan milikan yang berbeza.

“Ada yang memiliki sawah seluas lima ekar, ada yang 10 ekar dan soal gabung tanah pesawah bagi kami di Terengganu tidak ada.

“Kemudahan di kawasan jelapang padi juga memang dibina secara bersepadu dan semua perkara termasuk jadual menabur, menuai, membajak, dan bekalan air memang diselaraskan,” tambah beliau.

Untuk rekod, keluasan sawah padi di Terengganu adalah melebihi 12,00 hektar yang meliputi kawasan jelapang sebanyak 5,000 dan luar jelapang seluas 7,000 hektar.

Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masalah kemiskinan yang membelenggu golongan pesawah padi hanya dapat diatasi jika mereka bersedia menerima kaedah menggabungkan tanah sawah mereka untuk diusahakan sebagai estet perladangan.

Perdana Menteri berkata, mempelajari daripada kejayaan penggabungan tanah industri getah dan kelapa sawit, pemilik tanah sawah kelak akan dapat melaksanakan penanaman padi secara besar-besaran dengan melibatkan kepakaran dan kemahiran pertanian.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: