Friday, 27 September 2019

Empat Bidang Utama Tunjang Konsep Universiti Gabungan UMT-UniSZA

SHARE
Dari kiri: Dr. Nor Aieni, Dr. Siti Hashimah, Tan Sri Halim, Dr. Muhammad Nur dan Dr. Hassan.


KUALA TERENGGANU, 27 September- Pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju menumpukan empat bidang sebagai fokus kepada universiti baharu yang akan ditubuhkan hasil penggabungan sepenuhnya kedua-dua universiti itu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, keempat-empat tujahan utama iaitu kelautan, pendidikan Islam dan sains sosial, perubatan serta perniagaan dan undang-undang merupakan kekuatan kedua-dua universiti itu telah dicadangkan untuk dikekalkan.

"Tujahan atau bidang utama ini akan memantapkan universiti berkenaan sebagai peneraju dalam integrasi keilmuan Islam dan sains selain memperkasakan kebitaraan fokus universiti masing-masing serta memberi nilai tambah kepada mahasiswa, fakulti dan komuniti setempat.

"Melalui usaha ini kita akan dapat lihat bidang disiplin misalnya syariah dengan perakaunan atau mungkin pengajian Islam digabungkan dengan sains dan teknologi," katanya dalam sidang media selepas Bengkel Kerja Penyelarasan Penggabungan UMT dan Unisza di Hotel Primula di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah kedua-dua universiti, Tan Sri Dr. Halim Mohamad dan Dato' Dr. Muhammad Nur Manuty di samping Naib Canselor UMT dan Unisza, Prof. Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Prof. Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Siti Hashimah beri jaminan kakitangan universiti terlibat tidak akan kehilangan kerja.

Siti Hashimah juga memaklumkan, kerangka penggabungan itu akan dilaksanakan kerajaan menggunakan kepakaran pensyarah tempatan bertaraf antarabangsa.

Beliau turut memberi jaminan tiada mana-mana kakitangan sama ada akademik atau bukan akademik  bakal berdepan risiko kehilangan pekerjaan, sebaliknya akan kekal berkhidmat termasuk mereka yang berstatus pekerja kontrak.

"Walaupun secara prinsipnya, keputusan penggabungan sudah dipersetujui, proses libat masih lagi diteruskan urus bersama warga universiti termasuk dengan pelajar yang akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam bengkel selama dua hari itu, UMT dan UniSZA mengemukakan cadangan berhubung pelaksanaan penggabungan kedua-dua institusi itu untuk pertimbangan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bengkel tersebut turut menyentuh isu tadbir urus universiti baharu, pembangunan dan kebajikan pelajar di samping penyelidikan dan akademik.

Sesi libat urus dan bengkel akan terus diadakan bersama warga universiti.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: