Thursday, 12 September 2019

E-Hailing Teksi Terengganu Bakal Dicipta

SHARE
Haji Mohd Khuzaini (kiri) ketika mengunjungi Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan negeri bercadang untuk mencipta Aplikasi Teksi Terengganu bagi mengimbangi teknologi e-hailing yang popular masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, aplikasi berkenaan boleh digunakan oleh 1,000 pemandu teksi negeri itu untuk berdaya saing dengan e-hailing lain yang tumbuh bercambah bagaikan cendawan selepas hujan.

Katanya, perancangan kerajaan itu bertujuan untuk bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu dalam tempoh  empat tahun akan datang.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk mengadakan program yang dinamakan  GO I.R bagi membudayakan pekerja khususnya dan masyarakat amnya berkait kepentingan IR4.0.

"Ia akan dilaksanakan melalui kempen kesedaran seperti kursus, taklimat dan sesi dialog," jelasnya.

Kerajaan negeri juga katanya mengarahkan jabatan dan agensi kerajaan menggunakan teknologi maklumat dan aplikasi secara optimal bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih meluas dan berkesan.

Kerajaan negeri merancang membina 'database' pekerjaan yang holistik bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti penawaran dan permintaan tenaga kerja masa kini dan akan datang.

"Kerajaan negeri juga turut bekerjasama dengan TD 1303 bagi menjadikan pusat teknologi maklumat itu sebagai pusat untuk melahirkan usahawan yang mampu membina aplikasi-aplikasi tertentu bagi kegunaan jabatan, agensi dan usahawan," tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: