Tuesday, 10 September 2019

Calon UPSR Jangan Merendah Diri

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 10 September- Calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi khususnya tidak boleh berasa rendah diri sebaliknya perlu membuktikan kemampuan supaya dapat mencapai peningkatan prestasi kecemerlangan yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, tindakan sedemikian perlu agar pelajar di kawasan pedalaman tidak ketinggalan.

“Para pelajar perlu bermotivasi, walaupun berada di kawasan pedalaman masih mampu mencapai keputusan yang baik setaraf dengan pelajar di bandar.

"Sebelum menjelang peperiksaan, kita telah pun mengadakan usaha dengan mengadakan solat hajat di masjid seluruh DUN Bukit Besi.

"Kita mendoakan agar pada tahun ini akan berlaku peningkatan prestasi bagi membuktikan pelajar pendalaman mampu menyerlah walaupun calon kita tidaklah seramai mana," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita, ketika hadir menyantuni 53 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besi yang menduduki UPSR, hari ini.

Turut sama, Guru Besar SK Bukit Besi, Ahmad Razak Jusoh dan Yang DiPertua PIBG SK Bukit Besi, Ahmad Bakhir Chik.

Untuk rekod, UPSR masih berbaki dua hari, hari ini para pelajar menduduki kertas peperiksaan Matematik kertas 1 dan 2 serta hari terakhir esok bagi mata pelajaran Sains bagi kertas 1 dan 2.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: