Sunday, 29 September 2019

Bubur Asyura Tanda Penyatuan Masyarakat Setempat

SHARE
penduduk ketiga-tiga kampung berpadu tenaga menjayakan program Mesra Kasih As-Syura.

Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU,29 September - Ketibaan Muharam turut disambut dengan penganjuran majlis memasak bubur asyura (sura) yang telah sebati dan menjadi sebahagian daripada tradisi kehidupan masyarakat terutama di Terengganu dan Kelantan.

Ketika Muharam menghampiri penghujungnya, majlis seumpama itu semakin banyak diadakan yang mana ia menjadi aktiviti menyatukan masyarakat setempat.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Tok Nasek, Abdul Rahim Abdul Rashid berkata, budaya mengacau bubur sura merupakan tradisi bagi masyarakat Islam di negeri Terengganu.

“Aktiviti ini menjadi batu asas kepada perpaduan masyarakat yang cinta akan keamanan dan keharmonian dalam kampung setempat yang diadakan saban tahun bagi menyambut permulaan tahun Hijrah.

"Hari ini sebanyak enam kawah disediakan dan juadah tersebut dimasak secara bergotong royong antara penduduk setempat melibatkan tiga buah kampung iaitu kampung Gong Tok Nasek,Gong Baru dan Gong Parit," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Program Mesra Kasih As-Syura di Perkarangan Masjid Gong Tok Nasek, Sabtu lalu.

Program berkenaan dianjurkan oleh tiga MPKK kampung dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa masjid yang julung kali dibuat untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ketiga-tiga kampung.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: