Saturday, 14 September 2019

Berlari Tanpa Kaki, Shahabudin Berjaya Tamatkan Larian 12KM

SHARE
Shahabudin bersama sebahagian peserta LAJSM.

KUALA TERENGGANU, 14 September- Tidak memiliki anggota sempurna bukan halangan buat Mohd Shahabudin Othman, 45, untuk menyertai Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2019 yang berlangsung di Batu Buruk, hari ini.

Lelaki berasal dari Batu Rakit itu berjaya menamatkan jarak larian sejauh 12km dalam masa sejam 28 minit untuk kategori Tertutup Veteran Lelaki.

"Saya telah menyertai LAJSM sejak tiga tahun lalu iaitu, 5km pada tahun 2017, manakala memilih 12km pada 2018 dan tahun ini kerana lebih mencabar.

"Larian tahun ini melibatkan laluan baharu yang meningkatkan lagi stamina larian, serta lebih menarik untuk para pelari," katanya ketika ditemui selepas kejohanan tersebut.
Laluan baharu LAJSM 2019.

Tanpa kedua-dua kakinya yang dipotong kerana penyakit darah beku dalam saraf, sejak 10 tahun lalu, usahawan 'online' itu menyatakan, larian berkenaan adalah cabaran buat dirinya.

"Saya hanya cuba buktikan pada diri yang saya boleh lakukan sesuatu sebagaimana orang lain.

"Untuk rakan-rakan senasib dengan saya, jangan berputus asa, kena yakin kita boleh lakukan apa sahaja, mengikut tahap kemampuan kita," nasihatnya.

Beliau bagaimanapun mengakui, menyertai kejohanan menggunakan kerusi roda bukan mudah.
Peserta sempat ambil peluang bergambar berlatarkan Jambatan Angkat Terengganu.

"Kayuhan perlu kuat kerana jalan tidak rata, memang sukar, tetapi ada peserta yang membantu jika saya tersekat seperti ketika menaiki bukit di Jambatan Angkat yang tinggi.

"Untuk berdepan cabaran sebegini, saya telah mempersiapkan diri dengan berlatih di kampung seminggu sekali," katanya.

LAJSM kali ini disertai seramai 25,500 peserta dalam dan luar negara meliputi 24 kategori penyertaan.

Program tersebut juga diserikan dengan penganjuran Karnival Pantai 2019 yang turut berlangsung sehingga Isnin ini.

Keletah ibu bapa bersama peserta cilik mereka.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: