Friday, 27 September 2019

Berita Palsu Wujudkan Suasana Tidak Harmoni

SHARE


Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 27 September- Penyebaran berita palsu yang berleluasa tanpa batas di kalangan masyarakat bakal mewujudkan suasana tidak harmoni dan tidak stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kesan daripada berita yang tidak benar akan menimbulkan reaksi yang buruk oleh masyarakat terhadap sesuatu perkara.

“Maka, saya hendak mengingatkan dan menasihati pada rakan-rakan kita supaya melaporkan berita yang benar dalam melaksanakan kerja ataupun tangungjawab kita sebagai seorang wartawan.

“Jangan sekali-kali kita membuat telahan ataupun sangkaan  yang tidak benar dan tidak menepati konteks yang dikehendaki oleh orang yang menyampaikan maklumat tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di Primula Beach Hotel, semalam.



Beliau turut memuji kerjaya wartawan yang bertindak sebagai penyampai maklumat dan pembentuk minda masyarakat melalui isu-isu yang disampaikan.

“Lakukanlah atau buatlah apa saja kaedah sekalipun, yang penting kita mesti melaporkan dengan cara yang benar kerana ia satu tugas yang mulia.

“Elakkan daripada mewujudkan berita yang memberi persepsi buruk kepada orang yang menyampaikan berita kerana persepsi masyarakat dibentuk melalui berita dan maklumat yang disampaikan dalam media,” katanya.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: