Monday, 30 September 2019

Berbelanja Tanpa Tunai Di Pulau Redang Menjelang 2020

SHARE
Salah seorang peniaga menerima replika insentif MyDebit Pulau Redang Tanpa Tunai 2020.



KUALA TERENGGANU, 30 September- Pulau Redang menjadi pulau peranginan pertama dalam negara yang bakal menggunakan sepenuhnya pembayaran tanpa tunai MyDebit menjelang tahun 2020.

Ketua Pejabat Bank Negara Kuala Terengganu, Adlis Khairil Sazly Mohd Zaini berkata, kempen pembayaran tanpa tunai yang dirintis oleh Bank Negara Malaysia itu dilaksanakan bertujuan meningkatkan penyertaan kewangan dengan menggalakkan penggunaan cara pembayaran lebih efektif.

"Usaha ini juga sebagai cara menyelesaikan masalah penduduk dalam penggunaan wang tunai selain memudahkan peniaga menerima penjualan dan hasil yang lebih daripada pelancong terutamanya.
Adlis (tengah) memberi penjelasan tentang kempen pembayaran tanpa tunai.

"Kita juga akan menaikkan taraf pelancongan kerana penggunaan pembayaran tanpa tunai MyDebit yang lebih meluas dan insya-Allah penggunaannya akan menular kepada sektor yang lain seperti pendidikan, makanan dan minuman (F&B) serta sektor-sektor lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan hak milik tanah kepada 105 peserta Rancangan Penempatan Semula di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Bank Negara turut menyampaikan Terminal Kad Kredit dan e-Pembayaran berserta insentif berjumlah RM500 kepada 20 peniaga di pulau berkenaan dalam kempen 'Pulau Redang Tanpa Tunai 2020'.

Beberapa pengamal media mencuba aplikasi QR Pay Maybank di salah satu kedai di Pulau Redang.

Pihaknya memanfaatkan tahun ini untuk memperluaskan penggunaan pembayaran tanpa tunai menerusi terminal tempat jualan (POS) dan kad ATM MyDebit di samping aplikasi QR Pay Maybank.

Sebanyak 80 peratus daripada 63 peniaga di Pulau Redang telah menyediakan kaedah e-pembayaran dalam usaha membina keyakinan masyarakat setempat untuk menjayakan kempen berkenaan.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: