Friday, 27 September 2019

Bacaan Yasin, Solat Hajat Untuk Anak-Anak Duduki Peperiksaan

SHARE

Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN 27 September- Masjid Nurul Ehsan Padang Jambu menganjurkan majlis bacaan yasin dan solat hajat untuk kejayaan anak-anak ahli kariah yang bakal menduduki peperiksaan awam tidak lama lagi.

Majlis tersebut yang berlangsung malam semalam dihadiri lebih 150 ahli kariah termasuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Padang Jambu (SMKKPJ).

Majlis yang dimulakan dengan solat maghrib dipimpin oleh imam masjid, Amiirullah Mansor diikuti dengan solat hajat serta bacaan yasin dan doa selamat.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Wan Hapandi Wan Nik yang juga memimpin solat hajat.

Menurut Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, disamping berjaya menghimpunkan ahli kariah, majlis tersebut juga boleh mengeratkan silatulrahim dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru.


“Program ini adalah sebahagian daripada ikhtiar yang dilakukan agar anak-anak pelajar bersemangat menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.

“Aktiviti kemasyarakatan yang telah dilaksanakan ini menjadi salah satu platform pertemuan penduduk dimana kemesraan dan hubungan kejiranan dapat dieratkan dan diperkukuhkan lagi agar masyarakat dapat hidup dalam suasana yang penuh dengan muhibah,” ujarnya ketika berucap di majlis itu.

Turut hadir, Pengetua SMKKPJ, Mohd Amin Harun.

Sementara itu, Mohd Amin memaklumkan seramai 84 calon bakal menduduki PT3 dan 81 calon SPM di sekolah berkenaan.

Menurutnya lagi, persediaan untuk menghadapi peperiksaan PT3 telah dilakukan sejak awal tahun lagi demi memastikan pelajar memperoleh keputusan terbaik.

“Kita setiap tahun akan mengadakan majlis seperti ini dan sebelum pada itu telah mengadakan kursus dan bengkel menjawab peperiksaan dengan kerjasama dari KRT Padang Jambu,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: