Tuesday, 10 September 2019

Anak Muda Perlu Hargai Jasa Pejuang Kemerdekaan - Wan Sukairi

SHARE

KUALA TERENGGANU, 10 September - Generasi muda diingatkan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang dan pemimpin terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan tersebut bagi memastikan golongan itu menghargai kemakmuran negara dengan memahami, menghayati dan mendukung sejarah kemerdekaan.

“Perjuangan menuntut kemerdekaan merupakan suatu sejarah terpenting yang perlu dihadam oleh generasi muda.

“Ianya supaya  mereka (generasi muda) yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan atau mereka yang akan memimpin pada masa akan datang merupakan golongan yang berpengetahuan dan faham apa yang pernah dialami oleh negara dan rakyat sebelum ini.

“Sekiranya kita tidak tahu sejarah dan pengorbanan nenek moyang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan, maka sudah tentu rasa kasih dan sayang kepada agama, bangsa dan negara akan berkurangan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Anak Muda Merdeka, ''Kehebatan Yang Tersembunyi : Di Mana Sinar Anak Muda'' yang diadakan di Terengganu Trade Centre (TTC), Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan Dan NGO Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak.

Forum anjuran UBSNT dengan kerjasama Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) menampilkan panel hebat iaitu Pensyarah Fakulti Sains dan Kemanusiaan, UTM, Profesor Dr. Kamaruzaman Yusof dan Zaharah Sulaiman yang merupakan Penyelidik Sejarah dan Penulis Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM).

Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah adalah selaku moderator.

Sementara itu, Pengarah Program Forum Anak Muda Merdeka, Nur Hidayah Ali berkata, penganjuran forum edisi kedua itu antaranya bertujuan untuk melahirkan generasi anak muda yang celik sejarah serta menanam semangat patriotik kepada negara.

“Ini adalah inisiatif kepada anak muda khususnya untuk menyelami dan memahami sejarah Tamadun Melayu dan penganjuran kali ini kita buka penyertaan yang lebih meluas di mana berjaya menarik kira-kira 900 peserta,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: