Sunday, 1 September 2019

Abdul Hadi Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

SHARE
Sultan Mizan berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Abdul Hadi.
KUALA TERENGGANU, 1 September – Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, 72, dianugerah sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M yang berlangsung di Stadium Negeri, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat untuk menyampaikan anugerah tersebut kepada Presiden PAS itu.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az serta Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan barisan kepimpinan kerajaan.

Abdul Hadi bersama isteri.
Abdul Hadi yang dilahirkan di Kampung Rusila, Marang, Terengganu pada 20 Oktober 1947 merupakan tokoh ulama dan ahli politik gerakan Islam yang terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara khususnya kepada negeri ini sejak dahulu lagi.

Sehingga kini beliau telah menghasilkan 108 buah karya antaranya Kuliah Tafsir Al-Baqarah, Muqaddimah Aqidah Muslimin dan Islam Memimpin.

Dalam kategori tersebut, beliau menerima wang tunai RM10,000 di samping tajaan umrah, set persalinan, piala dan sijil penghargaan .

Beliau yang ditemui selepas program menyatakan rasa syukur dengan anugerah yang diberikan itu dan percaya ia akan memberi kekuatan padanya untuk meneruskan usaha mendaulatkan Islam di bumi ini.

“Alhamdulillah saya bersyu­kur dan berterima kasih kepada semua pihak atas penghargaan ini, sebenarnya tidak pernah terlintas di fikiran untuk menerima anugerah ini,” tambah beliau.

Dalam majlis sama, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan 13 lagi anugerah untuk pelbagai kategori.

Sultan Mizan Mencemar dulu berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H.
Masjid Kerajaan Terbaik dianugerahkan kepada Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kemaman sekali gus menerima wang tunai RM8,000 diikuti Masjid Kampung Batu 2 1/2 juga di daerah sama dipilih Masjid Mukim Terbaik dan Surau Terbaik diungguli Surau Al-Hijrah, Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus.

Anugerah Keluarga Mithali diraih Alisah Mohamad dari Kampung Semanyor, Kemasik, Kemaman manakala Zaimah Sulong memenangi anugerah Keluarga Tunggal Mithali, manakala Nur Zalea Jasmin Abdullah, Ngah Yusof  dan Mohamad Md Ali masing-masing dinobatkan sebagai Aktivis Saudara Kita, Imam Cemerlang serta Bilal Cemerlang.

Penerima Anugerah Tokoh Hafizah pula diberikan kepada Radhiah Ab Rahman di samping Dr Mohd Hamdan Muhamed diumumkan sebagai Tokoh Dakwah, Ahmad Safuan Nizam Kamarudin, Tokoh Orang Kelainan Upaya, MGV Industries Sdn. Bhd.,Premis Halal Terbaik dan Muhamad Muda muncul pemenang Kembara Warisan Kayuhan Hijrah 2019.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: