Monday, 16 September 2019

350 Penduduk Hulu Terengganu Berakit Sambut Hari Malaysia

SHARE
Antara peserta-peserta 'Orang Ulu Hilir Ke Muara'.
HULU TERENGGANU, 16 September - Seramai 350 penduduk daerah ini meraikan sambutan Hari Malaysia ke-56 hari ini dengan berakit menyelusuri Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam negeri, Utiliti Dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, acara tahunan ‘Orang Ulu Hilir Ke Muara Kibar Jalur Gemilang’ yang membabitkan 48 buah rakit itu turut disertai 112 anggota agensi kerajaan dengan 45 kayak dan 33 bot.

Jelasnya, kesemua peserta termasuk yang menaiki rakit berhias menyelusuri Sungai Terengganu dari Jeti Kampung Dusun, Kuala Berang di sini hingga ke Jeti Tanjung Ketom, Serada, Kuala Terengganu.

“Peserta-peserta akan singgah di beberapa lokasi bersejarah dan asal-usul negeri ini bagi meningkatkan lagi semangat patriotik mereka.

“Secara tidak langsung, mereka (dan masyarakat) dapat mengingati kembali perjuangan tokoh-tokoh dahulu serta tempat yang menjadi sejarah untuk mencapai kemerdekaan,” katanya.
Setiap peserta kreatif menghias rakit masing-masing.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Dataran Kampung Dusun, Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Zahari Md Azahar, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud yang hadir sama berkata, program yang julung kali yang diadakan bersama Program Simulasi Kesiapsiagaan Bencana Banjir Terengganu itu mempunyai matlamat tersendiri iaitu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pihak polis.

“Kita harap program ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara penduduk tempatan dan anggota agensi penyelamatan bagi melicinkan lagi operasi penyelamatan pada musim tengkujuh nanti,” ujarnya.
Dr Mamad Puteh berucap merasmikan Majlis Pelancaran Simulasi Bersepadu Kesiapsiagaan Bencana Banjir Negeri Terengganu dan ‘Orang Ulu Hilir Ke Muara’ Kibar Jalur Gemilang




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: