Saturday, 14 September 2019

25,500 Peserta Sertai Larian Antarabangsa Sultan Mahmud

SHARE
Peserta-peserta memulakan cabaran.
KUALA TERENGGANU, 14 September - Acara tahunan penuh gemilang, Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2019 (LAJSM19) yang bertemakan ‘vacay-run’ (berlari dan melancong) mencatat penyertaan seramai 25,500 orang untuk bersaing dalam 24 kategori.

Acara pelepasan bagi jarak 42 dan 21 kilometer disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di dataran Batu Burok, di sini tepat jam 12.01 pagi tadi.

Manakala Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Zulkifli Ali membuat pelepasan peserta bagi jarak 12, lapan dan lima kilometer bermula jam 7.00 pagi ini.

LAJSM19 mencatat kejayaan tersendiri dengan berjaya menarik kehadiran lebih 5,000 peserta dari luar Terengganu.

Peserta pertama bagi jarak 42 kilometer tiba di garisan penamat.
Di samping itu, acara 42 kilometer merekodkan peningkatan penyertaan dengan 210 peserta antaranya dari Kenya, Papua New Guinea, Somalia, Yaman, Brunei, India, Bangladesh, Jordan, Afrika Selatan, Nigeria, Amerika Syarikat, India, Singapura, dan Thailand.

Kemeriahan dan cabaran tahun ini juga berbeza apabila para peserta melalui laluan baharu, Jambatan Angkat sebagai destinasi akhir sebelum menamatkan larian di dataran Batu Burok.

LAJSM19 edisi kali ini menawarkan hadiah keseluruhan RM165,500 buat semua jarak pertandingan.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: