Monday, 9 September 2019

206 Rumah Mangsa Ribut Wakaf Mempelam Jalani Proses Baik Pulih

SHARE
Wan Sukairi bertanya khabar mangsa terlibat.

KUALA TERENGGANU, 9 September- Sebanyak 206 buah rumah yang direkodkan mengalami kerosakan akibat ribut kencang Sabtu lalu, mula menjalani proses baik pulih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga pengerusi Pusat Khidmat DUN berkenaan memaklumkan, pihak pembekal telah bergerak menghantar bekalan keperluan untuk baik pulih rumah-rumah di kawasan tersebut, bermula semalam.

"Pihak kami melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah mengambil tindakan segera bermula pada hari kejadian dengan melawat untuk menilai kerosakan dan menyampaikan keperluan sementara mangsa.

"Kami juga sedang mengesan rumah-rumah yang terlibat sekiranya belum direkodkan," katanya ketika ditemui media dalam kunjungannya ke Kampung Kubang Tangga, semalam.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M.Rozi Bidin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu turut menyatakan kerajaan negeri prihatin dan berusaha memberikan khidmat terbaik dalam mengatasi masalah itu.

"Kita akan melibatkan pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Maidam dan Tabung Darul Iman (TDI) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa," katanya.
Wan Sukairi meninjau rumah yang hampir roboh milik salah seorang penduduk.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi MPKK Kubang Tangga, Aziz Lokman Mat Din menasihati penduduk terlibat bersabar dalam proses yang sedang berjalan.

"Proses baik pulih dijangka akan dapat diselesaikan hujung minggu ini.

"Ini kerana, kita turut berdepan masalah bekalan dan kekurangan tukang untuk mempercepatkan proses baik pulih, jadi kita harap semua dapat bersabar dan berkerjasama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ribut kencang yang melibatkan 11 buah kampung di sekitar DUN itu dikatakan berlaku sekitar jam 3.40 petang Sabtu dan kebanyakan penduduk menyifatkan situasi tersebut pertama kali berlaku.

ADUN Wakaf Mempelam melihat antara kerosakan yang berlaku.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: