Wednesday, 18 September 2019

1,922 Anak Penyu Dilepaskan Ke Laut

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 18 September- Jabatan Perikanan Malaysia (Terengganu) melepaskan sebanyak 1,922 ekor anak penyu ke laut di Pantai Rantau Abang untuk usaha pembiakan spesies yang kian pupus itu.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.

Menurut Alias, sekitar tahun 70-an dianggarkan sebanyak 80 hingga 120 ekor penyu semalaman mendarat di pantai tersebut sehingga Terengganu mendapat jolokan Negeri Penyu.

"Saya difahamkan penyu sering melalui perairan Rantau Abang ini, tetapi tidak mendarat di pantai ini.

“Justeru, pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan slogan ‘Pulang Kembali’ bertujuan memujuk penyu-penyu ini agar mendarat kembali di perairan Pantai Rantau Abang untuk bertelur seperti dahulu,” ujarnya selepas menyempurnakan majlis pelepasan anak penyu tersebut.


Turut hadir, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Lizan Che Mat.

Sementara itu, Zawawi memberitahu sebanyak 600,000 anak penyu dilepaskan dari Januari hingga September tahun ini di beberapa tempat di perairan Terengganu.

" Dijangkakan akan kembali semula sebanyak 600 ekor di dalam masa 20 tahun akan datang,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: