Friday, 6 September 2019

1,000 Bantah Penindasan Terhadap Rakyat Kashmir

SHARE
Foto oleh : Aslam Wira.
MARANG, 6 September - Kira-kira 1,000 orang menyertai Himpunan Solidariti Untuk Kashmir di perkarangan Masjid Titian Baru, di sini hari ini bagi menyatakan penentangan terhadap tindakan Kerajaan India yang menarik status autonomi wilayah Kashmir.

Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak menegaskan, demontrasi itu juga sebagai tanda sokongan dan solidariti umat Islam terhadap rakyat Kashmir yang ditindas dengan sangat kejam.

Jelasnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu berada di luar prinsip kemanusiaan dan undang-undang, maka perbuatan itu seharusnya dikecam semua pihak.

“Kita tidak mahu peristiwa yang pernah berlaku di Arakan (Myanmar) merebak ke Kashmir, kita sangat mengharapkan tindakan daripada pihak berkuasa seperti Liga Arab supaya mengambil tindakan yang segera.

“Tindakan segera harus diambil segera bagi membantu dan membela masyarakat di sana, anak-anak muda juga diseru bersatu dan mengambil tahu perkembangan sebenar yang berlaku,” ujarnya ketika ditemui media selepas himpunan.

Nasir Abdul Razak.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) berkata, Kerajaan Malaysia yang mempunyai lebih autoriti dalam isu tersebut digesa bersuara bagi membela umat di sana.

“Kerajaan boleh menghantar utusan (surat) ataupun adakan perjumpaan dan perbincangan dengan Kerajaan India.

“Sekiranya itu tidak berlaku, kita akan terus beri kesedaran (kepada rakyat) dan mendesak Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam hal ini sehingga umat Islam Kashmir mendapat pembelaan sewajarnya,” tambah beliau.

Pada 5 Ogos lalu, Kerajaan India menerusi satu dekri presiden secara tergesa-gesa membatalkan status khas Kashmir dan mengetatkan kawalan keselamatan secara besar-besaran di sebahagian besar rantau bergolak itu.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi juga mengusul satu rang undang-undang untuk membahagikan wilayah itu kepada dua rantau yang akan diperintah secara langsung oleh New Delhi.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, sekutu rapat Modi memberitahu Parlimen bahawa presiden India sudah menandatangani satu perintah memansuhkan Artikel 370 Perlembagaan yang memberi kuasa autonomi istimewa kepada rantau Himalaya itu.

Sekali gus membatalkan kedudukan istimewa wilayah Himalaya Kashmir dan memutuskan komunikasi serta menghalang pergerakan bebas rakyat rantau itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: