Wednesday, 18 September 2019

Satu Juta Benih Udang Galah Dilepas Untuk Tingkat Pendapatan B40

SHARE

Nor Aieni (dua dari kiri) menunjukkan benih udang galah yang akan dilepaskan ke Sungai Nyatoh.

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 18 September - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Akuakultur Tropika dan Penyelidikan Perikanan (AKUATROP) melepaskan satu juta benih udang galah di beberapa sungai Terengganu bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk masyarakat setempat.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberikan impak kepada universiti tetapi komuniti setempat turut akan merasai kesannya.

“Program penyelidikan ini sebagai sumbangan UMT dalam meningkatkan pendapatan masyarakat setempat khususnya golongan B40.

“Apabila anak benih sudah mencapai usia matang kelak, ia bukan sahaja menstabilkan populasi udang galah, malah membawa limpahan rezeki kepada masyarakat di sini yang rata-rata bekerja sebagai nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pelepasan Benih Bagi Pemuliharaan dan Peningkatan Stok Populasi Udang Galah di Terengganu, di NR’ Nyatoh, di sini hari ini.
Shaharizukirnain (dua dari kanan) mendengar penerangan Nor Aieni.
Sementara itu, Pengarah AKUATROP, Prof Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah memaklumkan, penggunaan penanda biologi udang galah yang pertama di Malaysia itu diyakini dapat meningkatkan stok populasi udang galah Terengganu.

Ujarnya, projek kali ini merupakan kesinambungan dari Projek Fasa 1 yang telah dijalankan pada tahun lalu.

“Pemilihan lokasi pelepasan anak benih ini berdasarkan hasil kajian yang menunjukkan usaha tangkapan per unit (Catch Per Unit Effort, CPUE) yang paling rendah di antara tiga sungai iaitu  Sungai Nyatoh, Sungai Paka dan Sungai Terengganu.

“Melalui projek pelepasan benih ini dijangka dapat  meningkatkan stok populasi dan memastikan pengurusan sumber udang galah yang mapan dilaksanakan di Sungai Nyatoh khususnya dan sungai-sungai di negeri Terengganu, amnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang turut hadir memberitahu, UMT terus membuktikan keunggulannya dengan pelbagai penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sungai Nyatoh ini merupakan salah satu daripada tiga sungai utama di Terengganu selain daripada Sungai Paka dan Sungai Terengganu yang mendapat manfaat hasil program ini.

“Melalui program ini, seramai 20 orang penduduk setempat telah dicalonkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Setiu serta Jabatan Perikanan untuk mengikuti latihan teknikal berkaitan pembenihan udang galah,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: