Wednesday, 28 August 2019

Wakaf Buku Rebut Ganjaran Pahala

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos-  Orang ramai termasuk penjawat awam disaran merebut peluang menyertai Kempen Membaca dan Wakaf Buku yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui Unit Korporat itu juga bertujuan menggalakkan orang ramai menjadikan buku sebagai satu medium wakaf untuk manfaat pelbagai lapisan pembaca.

“Bagi menjayakannya, satu sudut membaca dan rak khas wakaf buku diwujudkan di lobi Wisma Darul Iman.

“Secara tidak langsung, program ini juga turut menggalakkan mereka yang berkemampuan dan mempunyai koleksi buku-buku ilmiah terpakai untuk beramal, di samping memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Terengganu menimba ilmu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Kempen Membaca dan Wakaf Buku Peringkat Negeri Terengganu 2019 sempena Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin dan Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

Katanya, program wakaf buku menjadi satu lagi cara bagi umat Islam terutama penjawat awam di Terengganu beramal soleh bagi meraih ganjaran pahala kepada pewakaf selagi harta yang diwakafkan itu kekal dimanfaatkan.

“Bagi melancarkan proses wakaf buku ini, Unit Korporat dipertanggungjawabkan untuk  mengagihkan buku yang diwakafkan itu kepada mana-mana badan atau agensi yang memerlukan termasuk rumah kebajikan, masjid, sekolah, rumah anak yatim atau lain-lain institusi mengikut kesesuaian dan keperluan,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: