Tuesday, 6 August 2019

'Tulisan Jawi Mesti Diperkasa' - Khairuddin

SHARE
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
KUALA NERUS, 6 Ogos - "Orang Melayu mesti tegas memperkasakan tulisan Jawi kerana ia sebahagian hak bahasa Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967," demikian kata Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, orang Melayu mesti tegas dan jangan berundur dari prinsip bahawa 'Unified Examination Certificate' atau Sijil Peperiksaan Bersepadu mesti ditentang daripada diiktiraf.

"Orang Melayu mesti tegas mempertahankan hak istimewa mereka sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan.

"Kita mesti tegas bahawa tulisan Cina tidak boleh dibenarkan dalam penggunaan rasmi termasuk papan tanda. Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi.

"Orang Melayu mesti tegas menyatakan bahawa Islam sahaja agama berdaulat dalam negara ini yang berhak diberikan peruntukan oleh kerajaan. Adapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai," tegas beliau dalam satu kenyataan media di status Facebooknya semalam.

Seksyen 9 di bawah sub tajuk Tulisan Bagi Bahasa Kebangsaan ada menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ia tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Dalam pada itu, dilaporkan bahawa sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

Dr Mohd Khairuddin berkata, lihatlah betapa yakin dan konsisten kumpulan pendesak Cina dan Tamil memperjuangkan apa yang dirasakan hak mereka iaitu menolak tulisan Jawi.

Justeru katanya, orang Melayu mesti tegas bahawa mana-mana warganegara yang gagal bertutur dalam bahasa Melayu tidak layak menjadi warganegara.

"Malah ahli Parlimen yang pelat dan gagap bahasa Melayu perlu diarahkan berkursus sehingga lidahnya sepetah lidahnya bertutur bahasa Inggeris yang juga bukan bahasa ibundanya," tegasnya lagi.

Katanya, orang Melayu mesti tegas menyatakan hanya orang Melayu Islam wajar menjadi Perdana Menteri, bukannya bangsa lain.

"Sangat malang apabila Melayu pula layu dalam memperjuangkan kehendak mereka.

"Adapun pengkhianat Melayu, tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai hukuman," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: