Saturday, 3 August 2019

Tiga Pekerja Resort Hilang Di Laut Ditemui Selamat

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 3 Ogos - Tiga orang pekerja resort Pulau Tenggol yang dikhuatiri hilang sejak Rabu lalu telah ditemui selamat oleh nelayan Thailand di perairan antara sempadan Thailand dan Vietnam.

Bot yang dinaiki mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin dan ditemui  hanyut kira-kira 112 batu nautika dari Dungun.

Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25 serta pekerja resort, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22 telah dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas yang terletak di perairan negeri Kelantan bagi mendapatkan bantuan sejurus dijumpai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menerima panggilan kira-kira jam 1 pagi daripada penyelia pelantar minyak Bunga Orkid yang memaklumkan penemuan tiga mangsa itu,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun melahirkan kesyukuran dengan berita gembira tersebut.

Menurutnya, kerjasama daripada orang ramai mengirimkan doa serta mengadakan sembahyang hajat selepas solat Jumaat di masjid - masjid-masjid di Dungun dan juga di tapak operasi secara tidak langsung membantu usaha Mencari dan Menyelamat (SAR).

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan resort tersebut dan individu-individu yang terlibat di dalam usaha mencari mangsa,” katanya.

Pada hari kejadian, ketiga-tiga mangsa dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke Pulau tenggol.

Mereka yang berlepas kira-kira jam 12.30 tengah hari dari Jeti di Kampung Seberang Pintasan, didapati hilang apabila tidak tiba di pulau berkenaan tiga jam kemudian sebelum Pusat Kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah mengaktifkan operasi mengesan dan menyelamat mangsa.   



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: