Thursday, 15 August 2019

Terengganu Terima Peningkatan Peruntukan Pembangunan Bagi 2019

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Negeri Terengganu menerima keutamaan melalui peningkatan Peruntukan Pembangunan (DE) sebanyak 4.1 peratus bagi tahun 2019.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) hari ini, DE berjumlah RM988.5 juta diberi bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12) di mana, Terengganu merupakan antara negeri penting dalam usaha penyediaan RMKe-12 sesuai salah satu matlamat jangka masa panjang negara untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas sesi libat urus bersama kerajaan negeri Terengganu bagi penyediaan RMKe-12 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Sesi libat urus tersebut merupakan salah satu  daripada rangka lawatan sehari menteri itu ke negeri berkenaan dan Terengganu merupakan negeri kesembilan yang dilawati dalam siri jelajah  MEA.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal
Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Radzi Jidin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah; Dato’ Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Terengganu serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Dr. Noor Zari Hamat.

Kerajaan Persekutuan yakin melalui peningkatan peruntukan pembangunan dan kerjasama strategik, Terengganu pastinya dapat meneroka potensi ekonomi negeri yang berimpak tinggi.

Antaranya dalam sektor pengangkutan dan logistik, kegiatan industri hiliran berasaskan minyak dan gas, eko-pelancongan dan pertanian pintar yang bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan pendapatan tinggi kepada rakyat, tetapi juga menjana pertumbuhan ekonomi yang bakal menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: