Tuesday, 20 August 2019

Terengganu Serius Mahu Jadi Negeri Pengeluar Makanan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 20 Ogos - Pelaksanaan dasar baharu pertanian membuktikan kerajaan Terengganu serius untuk menjadi negeri pengeluar makanan utama di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 itu turut selaras dengan hasrat kerajaan pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengembangkan potensi pertanian negara.

Jelasnya, pelan berkenaan mengariskan enam teras yang mengandungi 61 strategi dengan 128 program yang dirancang dalam tempoh lima tahun bagi meningkatkan ekonomi bumiputera Terengganu.

“Bidang pertanian kontan yang mendatangkan pulangan ekonomi segera atau ‘cash crop’ akan diberikan tumpuan.

“Sama ada daripada segi peruntukan pengembangan atau kelulusan tanah kerajaan bagi projek pertanian baharu,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau, pelan strategik tersebut turut memberi keutamaan kepada tanaman sawit dan getah yang dijangka menjana pendapatan lumayan masyarakat luar bandar negeri itu.

“Ada pun untuk komoditi sawit dan getah, kita kekalkan keluasan sedia ada. Permohonan tanah kerajaan untuk pembukaan kawasan baru penanaman getah dan sawit bukan lagi keutamaan kerajaan untuk diberikan pertimbangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azman turut bersyukur dengan perkembangan industri pertanian di Terengganu yang mula mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan pusat.

“Kedatangan dua Menteri Persekutuan ke sini yang berbincang mengenai pertanian dalam tempoh seminggu membuktikan industri berkenaan di Terengganu mula berkembang.

“Berbeza parti bukan halangan untuk kita duduk bersama demi agenda rakyat atas dasar semangat federalisma,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 telah dilancarkan pada 4 Ogos yang lalu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: