Monday, 5 August 2019

Terengganu Sambut Hari Arafah 9 Zulhijjah

SHARE
Jamaluddin Jusoh.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 5 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu akan menyambut Hari Arafah pada 9 Zulhijjah bagi mengajak rakyat negeri berkenaan supaya beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Ianya adalah usaha kerajaan negeri bagi menanam kecintaan dan kerinduan agar wujud keinginan untuk melaksanakan ibadat haji.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun, Jamaluddin Jusoh berkata, ianya bukan hanya akan diadakan di peringkat negeri Terengganu, bahkan akan turut disambut di peringkat daerah berkenaan.

"Di mana pada 9 Zulhijjah itu kita hendak jadikan sebagai satu hari untuk beribadat, mengaji, baca al-Quran, berpuasa dan berzikir agar dapat fadhilat hari berkenaan walaupun tidak buat ibadat haji.

"Jadi itu pengisian yang akan kita buat sebagaimana yang dibuat di negeri Kelantan sejak sekian lama," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Khas Muslimat pada Program Kempen Bukit Besi Bersih anjuran i-MiTS Dungun di Kampung Tepus, baru-baru ini.

Jelasnya, mengajak rakyat beriman dan bertakwa adalah satu elemen yang mesti ditekankan apabila diberi amanah memerintah.

"Bukan hanya untuk menyelesaikan masalah berbentuk jasmani semata-mata dari sudut material seperti memberi agihan bantuan kepada fakir miskin, membaik pulih rumah dan sebagainya, namun kita (kerajaan) mempunyai komitmen tinggi dalam mengisi segala agenda dan perancangan kerajaan negeri, agar rakyat beriman dan bertakwa kepada Allah SWT," ucap beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: