Friday, 16 August 2019

Terengganu Permudahkan Rakyat Bayar Premium Tanah

SHARE


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 16 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu memberi kelonggaran bagi rakyat yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan kadar premium tanah secara ansuran dalam masa tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata sebelum ini hanya yang berpendapatan RM700 ke bawah sahaja yang layak untuk memohon bayaran secara ansuran.

"Namun, setelah mengambil alih tampuk pemerintahan, kita menaikkan kadar pendapatan tidak melebihi RM1,700 dengan syarat, mereka  menjelaskan pendahuluan 20% dari nilai premium tanah.

‘’Bayaran jelas atau premium tanah dikira berdasarkan jumlah peratus dari nilaian harga tanah semasa. Bagi tanah pertanian atau tapak rumah di kawasan desa atau kampung di Terengganu sekarang ini adalah antara 10% hingga 25%,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang diajukan penduduk kampung ketika menghadiri majlis kesyukuran di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, baru-baru ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, bagi rakyat termiskin seperti penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pula, mereka layak memohon premium dengan kadar nominal RM1000 sahaja tanpa mengira berapa nilai sebenar tanah.

Tambah Dr. Azman, usaha itu merupakan penyelesaian kerajaan negeri terhadap kesulitan rakyat dalam menjelaskan premium tanah yang telah meningkat.

‘’Sekarang ini harga tanah mahal, sebab itu premium jadi mahal.

‘’Kerajaan Terengganu berusaha memberi kelapangan dan kemudahan kepada rakyat untuk memiliki tanah dan kita harap rakyat menggunakan peluang ini dengan baik’’ katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: