Friday, 2 August 2019

Terengganu Mahu Jadi Jaguh Sukan Sepak Takraw

SHARE

Wan Sukairi yakin Terengganu mampu meraih kejayaan dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari.
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Terengganu berhasrat untuk terus mencipta nama sebagai kilang utama pengeluar bakat-bakat dalam sukan sepak takraw di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan, Terengganu sememangnya tidak asing dalam melahirkan jaguh atlet sukan itu termasuk dengan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, berbekalkan pencapaian itu, kerajaan negeri akan terus bekerja untuk melahirkan bakat-bakat yang berkualiti agar Terengganu dan Malaysia terus kekal berkuasa dalam sukan itu.

“Kita sedar bahawa Terengganu sentiasa melahirkan jaguh yang hebat dalam acara ini, antara mereka yang sudah mencipta nama ialah Mohd Nor Abdullah, Abdul Ghani Abdullah, Jeffery Awang, Zulkifli Razak dan Hanafiah Dollah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari Ke-55 di Hotel Permai, di sini semalam.


Hadir sama, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Dato’ Seri Ahmad Ismail, Bendahari Kerajaan Terengganu, Dato’ Shukri Azam dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Abas Mamat.

Kata Wan Sukairi lagi, pencapaian tersebut secara tidak langsung akan memartabatkan kembali sepak takraw di Malaysia sekali gus menggerunkan negara lain.

Tambah beliau, usaha panganjuran kejohanan sepak takraw juga perlu diteruskan pada masa hadapan demi membantu menyemarakkan lagi sukan tersebut dalam kalangan belia.

Katanya, pendekatan itu juga menjadi saluran ampuh untuk menggilap bakat dalam kalangan remaja dan belia selaku pelapis yang perlu didedah serta dilibatkan sama dalam melestarikan lagi sukan warisan bangsa tersebut.

“Kerajaan negeri sentiasa sedia memberi kerjasama kepada semua pihak demi memastikan kejohanan (usaha) ini dan kejohanan lain mampu memartabatkan pasukan sepak takraw negara di mata dunia.

“Sejajar dengan itu juga, Terengganu bakal menganjurkan Sukan Terengganu (SUTERA) bermula tahun ini. Sepak takraw adalah sukan wajib yang setiap daerah pelu persiapkan, melalui itulah kerajaan menyegarkan bakat-bakat sepak takraw sekali gus akan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: