Saturday, 17 August 2019

Terengganu Komited Tingkatkan Tanah Rizab Melayu

SHARE

SETIU, 17 Ogos – Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan jumlah tanah rizab melayu di Terengganu sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar walau bagaimanapun berkata, usaha tersebut akan melalui proses-proses tertentu sebelum sebarang keputusan tentang perkara itu dimuktamadkan.

Jelasnya, beberapa strategi akan dilaksanakan terhadap Enakmen Tanah Rizab Melayu (ERM) Terengganu yang dipinda pada 2015 dan 2016 oleh kerajaan terdahulu setelah ia diperhalusi bersama semua pihak.

“Kita ucapkan terima kasih atas ingatan, ingatan daripada mana-mana pihak kepada kerajaan negeri sangat kita alu-alukan dan sambut dengan positif untuk kita ambil tindakan.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan tanah rizab melayu akan meningkat daripada jumlahnya, walaupun begitu ia melibatkan proses-proses termasuk pengenalpastian dan perundingan antara pihak-pihak terlibat dan ia semua masih dalam proses,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Resepsi Walimatulurus Perdana 2019 Peringkat Parlimen Setiu, di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini hari ini.

Turut hadir, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar dan Ahli Parlimen Setiu, Mohd Shaharizukirnain Abd Kadir.

Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan Pas Terengganu menunaikan janji untuk menyelamatkan tanah rizab Melayu yang didakwa keluasaan ketika ini cuma 118.21 hektar.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata, keadaan itu amat kritikal dan perlu segera diatasi berikutan 95 peratus penduduk Terengganu adalah Melayu dan kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini terlalu kecil berbanding jumlah keluasan tanah negeri 1.295 juta hektar.

Menurutnya, kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu adalah yang terendah di Malaysia sedangkan negeri ini mempunyai populasi masyarakat Melayu antara tertinggi dalam negara.

Beliau juga berkata kedudukan kawasan tanah rizab Melayu di Terengganu memang sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Pahang yang mempunyai 12.41 peratus tanah rizab Melayu; Kelantan (31.82 peratus); Kedah (31.86 peratus) dan Perak (43.50 peratus).

“Jika dibandingkan negeri yang komposisi penduduknya agak seimbang atau peratusan penduduk berbangsa Melayunya tidak setinggi di Pantai Timur pun mempunyai keluasan tanah rizab Melayu yang jauh lebih tinggi.

“Jadi kedudukan ini memperlihatkan Terengganu agak pelik dan tidak munasabah. Mustahil kerajaan negeri tidak sedar akan perkara ini,” kata Azan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: