Tuesday, 6 August 2019

Terengganu Ke Hadapan Budayakan Integriti

SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri memandang serius usaha membudayakan integriti sekali gus meletakkan Terengganu sebagai negeri contoh dengan memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan program latihan kakitangan kerajaan termasuklah melibatkan kursus-kursus yang berkaitan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat prihatin dalam perkara melibatkan integriti, bukan sahaja atas dasar berhati-hati, bahkan menyokong sepenuhnya segala usaha penambahbaikan ke arah menjadikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.

Katanya, ini juga termasuk untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan semua pihak yang berkaitan bagi menjayakan agenda ini.

“Pelaksanaan DIDI (Dasar Integriti Darul Iman) merangkumi pelbagai perkara termasuk program-program kakitangan kerajaan. Kita ada lebih kurang 1,600 orang akan terlibat dalam program berbentuk seminar, latihan, kursus dan juga program tahunan.

“Inisiatif yang kita ambil ini adalah selari dan dijalankan secara 'parallel' dengan program peningkatan dan apa jua pencegahan rasuah yang telah dirangka oleh SPRM melalui inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP). Sekiranya pelaksanaan berjalan secara berterusan, kita juga mendapat kerjasama dalam aspek pengisian termasuk aspek penceramahan maklumat-maklumat terbaru daripada pihak SPRM,” kata Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran DIDI di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengerusi Strategic & Integrity Institude ( TSIS), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata, Terengganu merupakan negeri pertama yang mempunyai bajet khas untuk memperkasakan integriti dan usaha pencegahan rasuah itu amat baik dan  diharapkan semua negeri dan agensi ada peruntukan sebegitu.

“Apa yang dibuat oleh Terengganu ini, saya puji kerana dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita ada juga bawa cadangan supaya dipindahkan sebahagian dalam bajet agensi tetapi bila Terengganu kata dia sudah menyediakan RM2 juta, itu satu yang positif kerana bagi saya bukan semua agensi ada perkara itu,” katanya.

DIDI menterjemahkan pekerjaan sebagai ibadah dalam konsep Amalan Tadbir Urus Rabbani (ATUR). Konsep ini selaras dengan kehendak dan tuntutan akidah, syariat dan nilai murni sejagat.

Begitu juga tujuh teras utama Didi iaitu, keimanan, ketaqwaan, keikhlasan, ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan  Islah diringkaskan 6K-I yang dipupuk, disuburkan, disemai dan dibina dalam kalangan pentadbir dan kakitangan kerajaan.

Oleh yang demikian, DIDI telah dirangka khusus menggunakan pendekatan yang terbaik iaitu pendekatan Islam dalam menangani isu-isu pecah amanah, rasuah, ketirisan, ketidakcekapan dan sebagainya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: