Monday, 19 August 2019

Terengganu Juara Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan 2019

SHARE
Pasukan Judo Terengganu mempamerkan pingat ydam piala ang dimenangi. Foto: Media MSNT.


Oleh: Muhammad 'Ammaar Salehudin
  
KUALA NERUS, 19 Ogos – Kontinjen Terengganu berjaya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan edisi Ke-24 yang berakhir semalam.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak itu menyaksikan skuad Sang Penyu berjaya membawa pulang 52 pingat keseluruhan iaitu 22 pingat Emas, 12 Perak dan 18 Gangsa meninggalkan pesaing terdekat, Pulau Pinang yang mengumpul 14 Emas, 14 Perak dan 1 Gangsa manakala Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail ditempat ketiga keseluruhan dengan 8 Emas, 9 Perak dan 4 Gangsa.

Ali Tengah selaku pengurus pasukan ketika dihubungi berkata, atlet Terengganu berada dalam prestasi terbaik melalui persiapan rapi yang dilakukan oleh barisan jurulatih yang diberi tanggungjawab, diketuai oleh Marjan Abdullah.

“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet yang telah berjuang bermati-matian sehingga berjaya meletakkan nama Terengganu di tahap yang tertinggi dan merebut piala Juara Keseluruhan kejohanan ini. 
Ali Tengah.

“Namun begitu, kita tidak harus leka malah menjadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk melipatgandakan usaha supaya mencapai prestasi terbaik di SUKMA Johor 2020 nanti,” katanya.

Kejohanan berkenaan disertai  319 atlet daripada 11 pasukan pada kali ini turut mempertandingkan empat kategori umur iaitu B21, B17, B14 dan B12 tahun.

Terengganu muncul juara 3 kategori manakala menduduki tangga ketiga bagi kategori B12 dengan pungutan 1 Emas dan 1 Gangsa.
Antara aksi dalam kejohanan Judo Remaja Kebangsaan 2019. Foto: Media MSNT. 

Sementara itu Presiden Persatuan Judo Negeri Terengganu (TEJA), Wan Mohd Hamidi Wan Harun ketika mengulas pencapaian pasukanya, berbangga dengan prestasi yang dipamerkan atlet negeri.
“Syukur kerana penganjuran kali ini berjaya dikelola dengan baik tanpa sebarang masalah. Terima kasih terutama kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman yang merupakan penaung  TEJA, atas sumbangan dan sokongan.

Begitu juga, kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negara(MSN) yang memberikan bantuan material serta khidmat nasihat penganjuran,” katanya.

Foto: Media MSNT.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: