Saturday, 10 August 2019

Terengganu Isytihar Cuti Umum Hari Arafah Bermula 2020 - MB

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Kerajaan negeri mengisytiharkan Hari Arafah yang disambut pada 9 Zulhijjah setiap tahun sebagai cuti umum bagi seluruh rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan semua pihak dan ia akan berkuat kuasa sepenuhnya bermula tahun hadapan.

Jelasnya, usaha berkenaan adalah sebagai memperingati Hari Arafah yang menjadi simbolik kepada penyatuan umat Islam walaupun mereka datang dari pelbagai negara dan kaum.

"Kesatuan ini sewajarnya diperkukuhkan dalam kehidupan seharian umat Islam di seluruh dunia dan di Malaysia khususnya.

"Umat Islam wajib bersatu memperjuang dan mempertahankan agenda Islam.

"Penyatuan umat Islam dalam konteks Malaysia adalah amat penting bagi kita berdepan dengan segala ancaman yang sedang menggugat identiti dan jati diri agama serta negara yang kita sayangi ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini semalam.

Tazkirah oleh Ustaz Mohib Khouli mencuit hati Menteri Besar Terengganu.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Terengganu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, Hari Arafah seharusnya menjadi satu tarikh penting yang diingati dalam hidup setiap Muslim.

"Sama-sama kita hayati dan memahami signifikan Hari Arafah atau 'wukuf' untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Semoga pada tahun hadapan, kita pula dipilih oleh Allah Taala, untuk berkumpul di padang Arafah bersama-sama saudara kita dari seluruh dunia," tambah beliau.

Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama yang mengumumkan Hari Arafah sebagai cuti umum.

Program Hari Arafah yang julung-julung kalinya diadakan itu berjaya menarik lebih 1,000 warga Terengganu.

Lebih 1,000 hadirin memenuhi ruangan forum.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: